PENTAKSIRAN BILIK DARJAH (PBD)
PENGENALAN
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid.
" PBD melibatkan proses mengumpul dan menganalisis maklumat serta membuat refleksi yang berterusan terhadap PdP dalam membuat pertimbangan secara konsisten ke arah menambah baik PdP tersebut "
OBJEKTIF PBD
PBD dilaksanakan untuk mendapatkan gambaran tentang kemajuan pembelajaran murid di samping memberi maklum balas tentang pengajaran guru.
Melalui PBD, guru dapat:
mengesan pengetahuan sedia ada murid
mengesan perkembangan murid secara menyeluruh
mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam
pembelajaran dari semasa ke semasa
mengetahui keberkesanan PdP
merancang, mengubah suai dan menambah baik kaedah PdP
menjalankan tindakan susulan yang sesuai dengan serta merta.
Melalui PBD, murid dapat:
mengesan perkembangan diri
mengenal pasti kekuatan dan kelemahan dalam pembelajaran
meningkatkan pencapaian pembelajaran
MATA PELAJARAN DAN JENIS PENTAKSIRAN
Mata Pelajaran Yang Terlibat Dengan PBD
Semua mata pelajaran KSSR dan KSSM.
Pelaksanaan konsep PBD berlaku secara berterusan dari Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah.
PBD dilaksanakan secara berterusan sepanjang proses PdP sepanjang tahun.
PBD dilaksanakan melalui pelbagai kaedah pentaksiran seperti:
Pemerhatian
Penulisan
Lisan
Serta, melalui kerja projek, kuiz, pembentangan dan-lain- lain aktiviti pembelajaran, berdasarkan Standard Prestasi dan pertimbangan profesional guru.
ASPEK YANG DITAFSIR
Pelbagai aspek boleh ditaksir melalui PBD yang meliputi pelbagai kecerdasan serta perkembangan emosi dan sahsiah murid. Aspek yang ditaksir ini termasuklah aspek nilai dan kompetensi yang diperlukan dalam dunia hari ini, di samping perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor seperti dinyatakan dalam DSKP setiap mata pelajaran.
Contoh aspek yang ditaksir ialah:
Pengetahuan
Kemahiran berfikir
Kemahiran berbahasa
Kemahiran mengira
Kemahiran belajar
Kemahiran bersosial
Kemahiran manipulatif
Kemahiran amali
Kemahiran kinestatik
Kreativiti
Kesihatan dan kecergasan
Amalan nilai murni
Sikap
KAEDAH PELAKSANAAN PBD
Kaedah Pelaksanaan PBD
Merancang PdP dan Kaedah Pentaksiran
Melaksanakan PdP dan Pentaksiran
Merekod dan Menganalisis Penguasaan Murid
Membincangkan sama ada Tahap Penguasaan (TP) perlu dipertingkatkan
Melapor Tahap Penguasaan Murid
TAHAP PENGUASAAN PBD DAN TAFSIRAN
Tahap Penguasaan PBD (TP1-TP6) & Tafsiran
Terdapat enam tahap penguasaan digunakan untuk tujuan rujukan pencapaian murid bagi setiap mata pelajaran. Tahap penguasaan ini mengambil kira pengetahuan, kemahiran dan nilai yang ditetapkan dalam kurikulum.
Tahap Penguasaan (TP) 1: Tahap penguasaan pertama merupakan tahap paling rendah dalam PBD, di mana pada tahap ini pelajar mula tahu akan perkara asas atau boleh melakukan kemahiran asas atau dapat memberi respon terhadap perkara asas.
Tahap Penguasaan (TP) 2: Pada TP 2 ini pelajar mula menunjukkan kefahaman mereka dan menjelaskan sesuatu perkara yang dipelajari dalam bentuk komunikasi.
Tahap Penguasaan (TP) 3: Pada tahap ketiga, pelajar sudah tahu, faham dan sudah boleh melaksanakan tugas. Pelajar akan menggunakan pengetuah yang mereka miliki untuk melaksanakan sesuatu kemahiran pada suatu situasi.
Tahap Penguasaan (TP) 4: Pada TP 4 ini pelajar sudah boleh melakukan semua perkara yang perlu dilakukan pada tahap sebelumnya, namun kali ini ditambah dengan adab baik. Pelajar menggunakan pengetahuan dan melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab iaitu mengikut prosedur atau secara analitik dan sistematik.
Tahap Penguasaan (TP) 5: Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Terpuji. Pada tahap ini pelajar menggunakan pengetahuan dan melaksanakan sesuatu kemahiran pada situasi baharu dengan mengikut prosedur atau secara analitik dan sistematik serta tekal dan bersikap positif.
Tahap Penguasaan (TP) 6: Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Mithali. Murid berupaya menggunakan pengetahuan dan kemahiran sedia ada untuk digunakan pada situasi baharu secara analitik, sistematik, bersikap positif, kreatif dan inovatif dalam penghasilan idea baharu serta boleh dicontohi.
MAKLUMAT LANJUT DAN PERTANYAAN
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau ingin mengetahui maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia.
Rujuk FAQ: https://www.moe.gov.my/soalan-lazim-menu/kurikulum/kurikulum.
PANDUAN PELAKSANAAN PBD EDISI KE-2
Muat Turun PDF (Panduan PBD):
https://harianpost.my/wp-content/uploads/2023/09/1.-Buku-Panduan-PBD-Edisi-2.pdf